Tuesday, 14 June 2011

pengertian melayu dari pelbagai sumber

Melayu (ملايو) merujuk kepada kumpulan etnik dari bangsa Austronesia yang sebahagian besarnya mendiami Semenanjung Tanah Melayu termasuk bahagian-bahagian paling selatan Thailand, pantai timur Sumatra, pesisir pantai Borneo, dan pulau-pulau yang lebih kecil yang terletak di antara lokasi-lokasi ini. Kumpulan etnik Melayu berlainan dari konsep Rumpun Bangsa Melayu, yang merangkumi kumpulan manusia yang lebih luas, termasuk kebanyakan etnik di Indonesia dan FilipinaBahasa Melayu ialah anggota keluarga bahasa Austronesia.



Etimologi

Lakaran peta dunia dalam karya Ptolemy (c. AM 90 – c. 168), Geographia ada menyatakan tentang sebuah tanjung di Aurea Chersonesus (Semenanjung Tanah Melayu) yang diberi nama Maleu-kolon, dipercayai berasal dari perkataan Sanskrit Malayakolam atau Malaikurram. Menurut G. E. Gerini, Maleu-Kolon merujuk kepada Tanjung Kuantan hari ini sementara Roland Bradell mendakwa ia berada di Tanjung Penyabung, kedua-duanya di Semenanjung.


Bangsa Gunung

Dalam bab 48 dari teks agama Hindu Vayu Purana, ada dinyatakan satu perkataan Sanskrit Malayadvipa (secara harfiah: “benua bergunung-ganang”), yang merujuk kepada salah satu wilayah di kepulauan timur yang penuh dengan emas dan perak. Di situ letaknya sebuah bukit bernama Malaya dan juga gunung besar yang digelar Mahamalaya. Walaupun sesetengah sarjana barat terutamanya Sir Roland Braddell mengaitkan Malayadvipa ini dengan Sumatra, ramai sarjana India mempercayai ia merujuk kepada semenanjung Tanah Melayu yang lebih bergunung-ganang, di mana beberapa kerajaan maritim Melayu purba telah wujud dan berinteraksi dengan benua India sejak permulaan kurun Masihi.
Orang Melayu juga pernah dirujuk sebagai orang Kun-lun dalam beberapa catatan China. Istilah Kunlun pada asalnya digunakan untuk merujuk kepada banjaran gunung yang terbentang melangkaui sebahagian besar wilayah Tibet dan utara India. Ia kemudiannya digunakan oleh orang Cina zaman dahulu sebagai rujukan kepada semua bangsa berambut hitam kerinting yang tidak bertamadun dari gunung-gunung dan hutan-hutan terpencil. Orang Vietnam, orang Champa dan Khmer pernah digelar sebagai orang Kunlun oleh orang Cina sebelum istilah ini digunakan pada orang Melayu. Pada tahun 750, Jianzhen (688-765) menyatakan kehadiran ramai "orang BrahminParsi dan Kunlun di Guangzhou". Buku Tang merekodkan "setiap tahun, para saudagar Kunlun datang dengan kapal-kapal mereka dengan barang-barang bernilai untuk berdagang dengan orang Cina".


Kerajaan Mo-Lo-Yu

Dalam catatan I-Tsing (seorang sami Buddha Dinasti Tang), yang melawat Kepulauan Melayu di antara tahun 688 - 695, beliau ada menyebut tentang sebuah kerajaan bernama Mo-Lo-Yu yang terletak sejauh 15 hari pelayaran dari Bogha (Palembang), ibu negeri Sribhoga (Srivijaya). Beliau juga mengambil masa 15 hari pelayaran dari Mo-Lo-Yu ke Ka-Cha (Kedah), oleh itu Mo-Lo-Yu mungkin terletak di tengah-tengah antara kedua-dua tempat. Menurut I Tsing, Mo-Lo-Yu pada mulanya adalah sebuah kerajaan bebas sebelum ia ditawan oleh SriBhoga.
Pada zaman Dinasti Yuan (1271–1368) dan Dinasti Ming (1368–1644), perkataan Ma-La-Yu sering disebut dalam sejarah China untuk merujuk kepada sebuah negara di Nanyang atau "Laut Selatan". Istilah ini sering dieja berlainan kerana perubahan Dinasti.
  • (Cina: 木剌由) - Bok-la-yu, Mok-la-yu
  • (Cina: 麻里予兒) - Ma-li-yu-er
  • (Cina: 巫来由) - Oo-lai-yu (dikesan dari sumber tulisan sami Xuan Zang)
  • (Cina: 無来由) - Wu-lai-yu
Ayat berikut dipetik dari catatan Babad Dinasti Yuan (dalam bahasa Cina): Babad Yuan Mongo
"以暹人与麻里予兒旧相仇杀,至是皆归顺,有旨谕暹人“勿伤麻里予兒,以践尔言"
(Bahasa MelayuPermusuhan terjadi di antara Siam dan Ma-la-yu (Melayu) dengan kedua-duanya berbunuhan antara satu sama lain...)
Petikan di atas berkemungkinan besar merujuk kepada berkurun-kurun lamanya permusuhan di antara entiti Thai di utara dan negeri-negeri Melayu di semenanjung Tanah Melayu seperti kerajaan Pattanikerajaan Kedah dan kesultanan Melayu Melaka.
Pengembara dari Venice yang masyhur Marco Polo (1254–1324) dalam bukunya Pengembaraan Marco Polo ada menyebut tentang sebuah kerajaan bernama "Malauir" yang menurutnya terletak di bahagian selatan semenanjung Tanah Melayu.
Perkataan "Malayu" ada dipahatkan pada Batu Bersurat Padang Roco yang bertarikh 1286 di Dharmasraya kemudian Adityawarman pada tahun 1347 menyebut kerajaannya dengan nama Malayapura seperti yang dipahatkan pada bahagian belakang Patung Amoghapasa.
Pada masa kesultanan Melayu Melaka yang menjadi kuasa utama di kepulauan Melayu pada abad ke-15, perkataan "Melayu" dimasyhurkan bagi menerangkan perbezaan budaya di antara orang Melaka dengan orang-orang asing dari rantau yang sama, terutamanya Orang Jawa danOrang Thai. Melaka bukan sahaja menjadi pusat perdagangan utama serantau, tetapi juga sebuah pusat budaya Melayu yang terpenting, berpengaruh dalam membentuk institusi politik dan budaya tradisional Melayu dalam abad-abad yang seterusnya.
Ketika zaman kolonialisme Eropah, perkataan "Malay" diadaptasi ke dalam bahasa Inggeris dari perkataan Belanda "Malayo", yang juga diadaptasi dari perkataan Portugis "Malaio", yang berasal dari perkataan bahasa Melayu "Melayu".


Melayu Proto

Melayu Proto yang juga digelar Melayu asli atau Melayu purba adalah penutur Austronesia dari tanah besar Asia yang berpindah ke Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu, dalam siri penghijrahan yang panjang di antara 2500 S.M dan 1500 S.M. The Encyclopedia of Malaysia: Early History, menunjukkan sejumlah tiga teori asal-usul Melayu:
Teori Melayu Proto berasal dari Yunnan disokong oleh R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster, J.R Logen, Slametmuljana dan Asmah Haji Omar. Bukti lain yang menyokong teori ini termasuk:
  1. Alatan batu yang ditemui di Kepulauan Melayu adalah sama dengan alatan dari Asia Tengah.
  2. Kemiripan adat Melayu dan adat Assam.
  3. Bahasa Melayu & bahasa Kemboja ialah bahasa serupa oleh kerana tanah nenek moyang orang Kemboja berasal dari sumber Sungai Mekong.
Kajian saintifik terbaru oleh HUGO (Human Genome Organization) mengenai genetik bangsa-bangsa Asia menyatakan hipotesis penghijrahan tunggal Asia dari Asia Tenggara mengembara ke arah utara dan secara perlahan-lahan menduduki Asia Timur. Hipotesis ini bagaimanapun hanya berdasarkan bukti variasi genetik yang lebih banyak di kalangan bangsa Asia tenggara berbanding bangsa Asia timur, tanpa mengambil kira sejarah sosio politik kedua-dua rantau tersebut. Kekurangan variasi genetik di kalangan bangsa Asia timur berkemungkinan besar adalah kerana rantau tersebut telah lama bersatu di bawah satu kuasa politik tunggal contohnya di China, Korea dan Jepun yang menyebabkan interaksi manusia yang lebih kerap berbanding di Asia tenggara.
Melayu Proto dipercayai bangsa pelaut yang mahir dalam oseanografi dan pertanian. Mereka berpindah dari pulau ke pulau dalam jarak besar di antara New Zealand dan Madagascar, dan mereka berkhidmat sebagai penunjuk arah, kakitangan dan pekerja buruh kepada pedagang India, Arab, Parsi dan China untuk hampir 2000 tahun. Bertahun-tahun kemudian mereka menetap di pelbagai tempat dan menyerap pelbagai budaya dan agama.



Melayu Deutero

Orang Melayu terawal kemudiannya secara perlahan-lahan diganti oleh peneroka-peneroka Melayu Deutero dalam gelombang kedua penghijrahan dari tanah besar Asia di sekitar 300 SM. Secara antropologi, etnik Melayu yang kini mendiami semenanjung tanah Melayu dan kawasan pantai kepulauan Melayu adalah dari golongan Melayu Deutero yang berkulit lebih cerah, berbadan lebih besar, dan berambut lebih lurus, berbeza dengan orang Melayu Proto. Masyarakat ini juga memiliki taraf budaya yang lebih tinggi, teknik pertanian dan pengetahuan tentang besi yang lebih maju. Mereka tidak hidup secara nomad tetapi dalam kampung-kampung yang merupakan unit utama masyarakat. Penempatan utama Melayu Deutero biasanya terletak di lembah-lembah subur, tebing sungai atau pesisir pantai, dan kegiatan utama adalah ekonomi sara hidup yang ringkas berasaskan penanaman padi dan perikanan. Menjelang kurun terakhir sebelum Masihi, penempatan-penempatan di kawasan pantai ini mula terlibat dalam perdagangan dengan dunia luar.
Kemunculan kelompok Melayu Deutero ini secara tidak langsung menyebabkan kumpulan Melayu Proto dan penduduk asli berundur ke pedalaman dan hulu sungai. Kumpulan Melayu Proto yang terkenal hari ini adalah dari suku MokenJakunOrang KualaTemuan dan Orang Kanaq.
Nampaknya banyak lagi tentang Melayu yang harus diteroka bagi kefahaman semua. nanti di masa akan datang, akan saya selitkan lagi fakta-fakta menarik tentang melayu. insyaAllah.

1 comment: